Anda Pengunjung Ke :

Friday 29 December 2017

Menziarahi Makam DiRaja Klang (28-12-2017).

Assalamualaikum. Warisan Permaisuri Melayu ingin memohon jutaan maaf kepada kesemua pembaca kerana sudah lama tidak bersiaran disebabkan kesibukan Editor Warisan Permaisuri. Insyaallah, Warisan Permaisuri Melayu akan kembali aktif pada tahun 2018. Terima kasih diatas sokongan semua para pembaca blog ini.


Pada 28 Disember 2017, Editor Warisan Permaisuri berkesempatan untuk melawat Bandar DiRaja Klang. Bandar ini menempatkan sedikit sebanyak tinggalan warisan Kesultanan Selangor terdahulu. Editor Warisan Permaisuri sempat untuk menziarahi Makam DiRaja Selangor yang terletak bersebelahan Masjid DiRaja Sultan Suleiman. Makam DiRaja ini dibuka kepada umum untuk menziarahi makam-makam Almarhum Sultan-Sultan Selangor, Almarhum Tengku Ampuan-Tengku Ampuan dan kerabat diraja Selangor yang dimakamkan di sini. Selain Makam DiRaja Klang, kerabat diraja Selangor yang mangkat juga dimakamkan di Makam DiRaja Shah Alam. 

Editor Warisan Permaisuri dihadapan Makam DiRaja Klang.

Pintu masuk Makam DiRaja Klang.

Pintu Gerbang Makam DiRaja Klang.

Makam ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bangunan utama menempatkan makam-makam Almarhum Sultan Selangor. Bangunan makam ini terletak berhadapan pintu masuk makam. Terdapat 4 orang Sultan Selangor yang dimakamkan di sini. Mereka ialah Almarhum Sultan Selangor Ke-5 Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1863-1938), Almarhum Sultan Selangor Ke-6 Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (1898-1960), Almarhum Sultan Selangor Ke-7 Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah (1893-1955) dan Almarhum Sultan Selangor Ke-8 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj (1926-2001). Dua orang Sultan Selangor yang dimakamkan disini mangkat ketika bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Mereka ialah Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah dan anakanda baginda Almarhum Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-11 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Binaan makam tertinggi merupakan makam Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

Editor Warisan Permaisuri dihadapan Bangunan Utama yang menempatkan Makam-Makam Almarhum Sultan Selangor.

Makam Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang mangkat pada tahun 2001.


Makam Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah yang mangkat pada tahun 1938.


Berdoa dihadapan makam Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Naik takhta kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan 4 April 1938. Dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Yang Ke-2 Persekutuan Tanah Melayu pada 14 April 1960. Mangkat di Istana Tetamu Kuala Lumpur 1 September 1960.

Bangunan kedua yang terletak disebelah kiri pintu masuk menempatkan makam Almarhum Tengku Ampuan Selangor dan kerabat diraja yang mempunyai gelaran Permaisuri. 3 orang Tengku Ampuan Selangor dimakamkan di sini. Mereka ialah Almarhum Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Almarhum Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad (1900-1973) yang merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-2 dan Almarhum Tengku Ampuan Rahimah Al-Hajjah Binti Almarhum Sultan Abdul Aziz Langkat (1927-1993). Selain Tengku Ampuan Selangor, kerabat diraja Selangor yang bergelar permaisuri di negeri lain juga dimakamkan di makan diraja ini. Mereka ialah Almarhum Tengku Ampuan Brunei Tengku Ampuan Raihani Binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (1911-1993), Almarhum Tengku Besar Maryam Binti Almarhum Raja Ahmad, dan Almarhum Tengku Permaisuri Langkat Tengku Permaisuri Zaharah Binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Di bangunan makam Tengku Ampuan ini juga telah dikhaskan dua makam untuk puteri Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah iaitu Almarhum Tengku Ampuan Bariah dan Almarhum Tengku Raudzah. Namun, Almarhum Tengku Ampuan Bariah dimakamkan di Makam DiRaja Terengganu dan Almarhum Tengku Raudzah dimakamkan di Makam DiRaja Langgar,Alor Star.

Makam Almarhum Tengku Ampuan Jemaah.

Makam Almarhum Tengku Besar Maryam Raja Ahmad.

Kawasan ketiga menempatkan kerabat diraja Selangor yang mangkat. Kawasan ini terletak bersebelah Bangunan utama. Antara kerabat yang dimakamkan disini ialah Almarhum Tengku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj, Tengku Laksamana Selangor. 

Makam para kerabat diraja Selangor. Makam yang berkubah merupakan makam Almarhum Tengku Laksamana Tengku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Bergambar di hadapan pintu gerbang Makam DiRaja Klang.

Masjid DiRaja Sultan Suleiman.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...