Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 30 December 2017

Klang Bandar DiRaja: Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz dan Istana Alam Shah.

Pada 28 Disember 2017, Editor Warisan Permaisuri Melayu berpeluang untuk bersiar-siar di Bandar DiRaja Klang. Sesuai dengan gelaran Bandar DiRaja, Klang sedikit sebanyak menyimpan khazanah diraja Kesultanan Selangor. Editor Warisan Permaisuri berpeluang untuk melawat Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz dan singgah sebentar di hadapan Istana Alam Shah, istana rasmi DYMM Sultan Selangor. Editor Warisan Permaisuri juga melawat Makam DiRaja Klang yang telah diceritakan dalam entry sebelum ini. 

GALERI DIRAJA SULTAN ABDUL AZIZ.

Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz terletak bersebelahan Mahkamah Klang dan hanya beberapa minit berjalan kaki dari Stesen Komuter Klang. Galeri ini lebih mudah diakses dengan berjalan kaki kerana lokasinya yang terletak di tepi jalan dan agak sukar untuk mendapatkan parking. Galeri ini dibuka kepada umum bermula jam 10.00 pagi dan ditutup pada pukul 5.00 petang dan ditutup pada hari Isnin. Masuk adalah percuma. Galeri ini mempamerkan koleksi milik Sultan Selangor dan kebanyakannya adalah milik Almarhum Sultan Selangor Ke-8 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Galeri ini merupakan cetusan idea Almarhum sendiri. Lokasi asal Galeri ini adalah di Jalan Kota Raja, Klang dan sebelum ini dikenali sebagai Muzium Kenangan. Pada tahun 1998, Almarhum berkenan menukar nama galeri ini kepada Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama baginda. Pada tahun 2001, galeri ini ditutup sementara kerana kemangkatan Almarhum. Anakanda Almarhum, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada tahun 2001 telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman dijadikan lokasi baru galeri ini. Pada 2007, Sultan Sharafuddin merasmikan galeri ini dan dibuka kepada umum. Bangunan setinggi dua tingkat ini menempatkan hampir 2000 koleksi peribadi Almarhum yang dipertontonkan kepada pengunjung. Pengunjung tidak dibenarkan untuk mengambil gambar didalam galeri ini. Bangunan galeri ini dibina pada tahun 1909 dan diilhamkan oleh Arthur B. Hubback. Pada awalnya bangunan ini menempatkan Pejabat Pentadbiran dan Tanah British. Apabila Jepun mengambil alih, bangunan ini dijadikan markas mereka. Kemudian, bangunan ini dijadikan pejabat pentadbiran tempatan sebelum diubahsuai dan dijadikan Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz. 

Bangunan utama Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz yang tertera tahun pembinaannya iaitu 1909.




Dihadapan pintu masuk ke ruang galeri.

Tangga menuju ke ruang galeri.

Lukisan potret dua orang Sultan Selangor iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan anakanda baginda DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Hanya dapat bergambar di bahagian hadapan Galeri kerana tidak dibenarkan mengambil gambar dialam ruang galeri.

Dihadapan papan tanda menunjukkan lambang galeri ini.

ISTANA ALAM SHAH.

Istana Alam Shah merupakan istana rasmi DYMM Sultan Selangor. Di istana inilah terletak nya Balairong Seri yang menyaksikan pertabalan Sultan Selangor dan istiadat-istiadat diraja yang lain. Istana ini asalnya adalah Istana Mahkota Puri yang dibina pada tahun 1905 dibawah pemerintahan Almarhum Sultan Selangor Ke-5 Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Almarhum Sultan Ala'eddin bersemayam di Istana Mahkota Puri sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1938. Pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Istana Mahkota Puri telah dirobohkan dan di tapak yang sama dibina Istana Alam Shah. Istana ini mempunyai 15 bilik dan dibina menggunakan kayu dan batu marmar. Pada tahun 2000, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menitahkan untuk Istana Alam Shah diubah suai mengikut ciri-ciri moden yang dapat dilihat pada senibina Istana Alam Shah pada hari ini.

Pemandangan Istana Alam Shah.


Di luar pagar utama Istana Alam Shah.


Lambang peribadi DYMM Sultan Selangor.

1 comment:

  1. Salam,dah lama duduk klang pun tak sempat lagi ke galeri. 😅

    InsyaaAllah 1 hari nanti.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...