Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 26 November 2017

Istiadat Pemasyhuran DYTM Raja Muda Kedah Darul Aman.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman
Tunku Dato' Seri Utama Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin,
D.M.K., D.S.D.K.

Satu lagi sejarah tercipta di negeri Kedah Darul Aman hari ini apabila seorang lagi Raja Muda telah dimasyhurkan. Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah Darul Aman Tunku Dato' Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, 50 telah dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah ke-20 menggantikan ayahanda baginda yang menaiki takhta sebagai Sultan Kedah. Istiadat pemasyhuran diadakan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di hadapan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff. 

Keberangkatan tiba Sultan dan Sultanah Kedah.

Turut dimasyhurkan dalam istiadat yang sama adalah adinda baginda, Yang Teramat Mulia Tunku Dato' Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin yang dimasyhurkan sebagai Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah menggantikan kekanda beliau yang dilantik sebagai Raja Muda Kedah. 


Istiadat bermula dengan keberangkatan tiba KDYMM Sultan Sallehuddin dan KDYMM Sultanah Maliha ke Balai Penghadapan pada pukul 10.30 pagi. Kemudian, surat pemasyhuran Raja Muda Kedah dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg Dato' Bakar Din dan diikuti oleh lafaz sumpah dan seterusnya menandatangani surat sumpah jawatan Raja Muda Kedah. Istiadat menandatangani itu disaksikan oleh dua orang saksi iaitu Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Dato' Hashim Hamzah dan Yang Arif Ketua Hakim Syarie Kedah Dato' Syeikh Abdul Rahman Abdullah. 

Keberangkatan tiba Raja Muda dan Che Puan Muda Kedah.

Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Keris Kebesaran Raja Muda Kedah oleh Sultan Kedah kepada Tunku Sarafuddin Badlishah. Selepas itu paluan nobat kedengaran dan sembilan das tembakan meriam dilepaskan. Tunku Sarafuddin Badlishah juga dianugerahi dengan Darjah Kebesaran Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (D.M.K.) yang membawa gelaran Dato' Seri Utama oleh ayahanda baginda. Istiadat bersambung dengan pemayhuran Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah. 

Pengurniaan D.M.K. kepada Raja Muda Kedah.

Berangkat ke istiadat berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Kedah Datin Seri Utama Zaheeda Mohamad Ariff, Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Nora Abdullah, Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Yang Teramat Mulia Tunku Dato' Seri Sakinah Sultan Badlishah dan dua orang putera dan puteri kepada Raja Muda Kedah iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah. 

Pengurniaan Keris Kebesaran Raja Muda Kedah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, YB Dato' Seri Mahadzir Khalid, YB Dato' Seri Mukhriz Mahathir, serta EXCO Negeri Kedah serta anggota pentadbiran negeri Kedah. 

Melafaz sumpah jawatan.

YTM Tunku Shazuddin, DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain, YTM Tunku Puteri Intan Safinaz, YTM Tunku Abdul Hamid Thani, YAB Dato' Seri Ahmad Bashah, DYTM Tunku Sarafuddin Badlishah, KDYMM Sultan Sallehuddin, KDYMM Sultanah Maliha, YTM Che Puan Zaheeda, YABhg Datin Seri Hizam Awang Ahmad, YABhg Toh Puan Dato' Nora Abdullah dan DYAM Tunku Soraya.



Menandatangani surat sumpah jawatan.



DYTM Raja Muda Kedah ke-20.

1 comment:

  1. Assalamualaikum saya peminat sejarah dan ketamadunan melayu. Saya nak tawarkan untuk bangunkan web khas untuk kandungan sedia ada dan terkini yang telah diusahakan ini. Agar terkandung ia dalam web yang lebih baik dan menjadi arkib rujukan. Boleh hubungi saya zulakmar di talian 0173ribu240

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...