Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 16 September 2017

BELASUNGKAWA: Almarhum Tuanku Abdul Halim, 59 Tahun Bertakhta Di Hati Rakyat.


Setelah 59 tahun bertakhta di atas takhta negeri Kedah Darul Aman, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat di Istana Anak Bukit pada tanggal 11 September 2017, dua bulan sebelum menyambut hari keputeraan baginda ke 90. Kemangkatan baginda membawa kesedihan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana baginda sinonim dengan lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu. Masakan tidak, tempoh 59 tahun bukanlah tempoh yang sedikit. Baginda merupakan Raja Melayu paling lama bertakhta dan juga merupakan monarki ke-2 paling lama bertakhta selepas Ratu England Queen Elizabeth II yang memerintah selama 65 tahun. Almarhum tidak sempat untuk menyambut Sambutan Jubli Nilam 60 tahun pemerintahan pada tahun hadapan. Pengalaman baginda sebagai seorang Raja amat mendalam, apatah lagi Almarhum baginda telah 2 kali dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Sepanjang 59 tahun menjadi Raja kesayangan rakyat jelata, baginda senantiasa komited dalam menjalankan tugas baginda. Walaupun menaiki takhta Persekutuan pada usia 84 tahun sebagai Seri  Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14, baginda menggagahkan diri untuk berbakti dan berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia. Begitu kuat azam dan tekad Almarhum, biarpun kesihatan seringkali mengganggu baginda, namun baginda kuatkan semangat untuk terus berbakti. Sesungguhnya pemergian Almarhum baginda amat dirasai. Sebagai mengenang Almarhum baginda, WARISAN PERMAISURI MELAYU memberi tribute kepada Almarhum dengan memaparkan 59 gambar wajah Almarhum sepanjang 59 tahun bertakhta di atas takhta negeri Kedah Darul Aman. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tuanku dan menempatkan baginda bersama para syuhada' dan solihin. 

Almarhum ketika zaman persekolahan.

Almarhum Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Star Kedah. Baginda merupakan putera kedua kepada pasangan DYMM Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan YTM Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud. Keputeraan baginda amat ditunggu sebagai pewaris takhta kerajaan negeri Kedah Darul Aman. Almarhum dibesarkan di Istana Anak Bukit sebagai seorang putera raja yang berdisiplin. Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan seterusnya ke Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung persekolahan di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1946 hingga 1948. 

Minat Almarhum yang mendalam dalam bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Almarhum telah berangkat ke United Kingdom pada tahun 1952 untuk menyambung pelajaran di Wadham College, Oxford, London. Baginda mengambil bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. Almarhum telah dilantik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah pada tahun 1949 ketika berusia 22 tahun. Almarhum kembali ke negeri Kedah setelah tamat pengajian pada tahun 1955 ketika berusia 28 tahun. Baginda telah menyertai perkhidmatan awam dan berkhidmat di Pejabat Daerah Alor Star dan kemudiannya di Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah. Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kedah pada 9 Mac 1957 sewaktu ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah berangkat ke luar negara. 

Almarhum telah mendirikan rumah tangga dengan Almarhum Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Almarhum merupakan menantu kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Almarhum Tuanku Muhammad dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama Tuanku Kurshiah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Almarhum dikurniakan seorang puteri YTM Tunku Puteri Intan Safinaz dan telah mengambil dua orang anakanda saudara baginda sebagai anak angkat baginda, DYAM Tunku Soraya dan Almarhum Tunku Sarina yang mangkat pada tahun 1991. 


Almarhum ketika menuntut di luar negara.

Bersama adinda Almarhum, Almarhum Tunku Abdul Mali.

Almarhum melangsunkan perkahwinan dengan Almarhum Sultanah Bahiyah pada tahun 1956.

Telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T., KDYMM Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah mangkat pada 14 Julai 1958. Berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum telah dipilih sebagai Sultan Kedah ke-28 ketika berusia 31 tahun. Almarhum ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959. Istiadat pertabalan baginda telah diadakan secara gilang gemilang.

Potret Almarhum sebagai Sultan Kedah.

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-28.

Almarhum dan Almarhum Sultanah Bahiyah diatas takhta negeri Kedah.



Pada 21 September 1965, Almarhum telah dipilih menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 pada usia 38 tahun. Setelah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin menghabiskan 5 tahun penggal pemerintahan baginda, Majlis Raja-Raja telah bersetuju untuk memilih Almarhum sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 bermula 1970 hingga 1975. Istiadat mengangkat sumpah jawatan baginda telah diadakan pada 21 September 1970. Manakala pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-5 telah diadakan pada 20 Februari 1971. 

Almarhum ketika mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-4.

Almarhum sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong.

Almarhum ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-5.

Almarhum sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Almarhum dan Almarhum Sultanah Bahiyah bersama 3 puteri.

Almarhum dan Queen Elizabeth II ketika lawatan Almarhum ke England.

Almarhum bersama Perdana Menteri Tun Abdul Razak, Raja Permaisuri Agong Sultanah Bahiyah, Queen Elizabeth II, Prince Philip dan Toh Puan Rahah.


Almarhum bersama Sultanah Bahiyah dan bonda mertua, Almarhum Tuanku Kurshiah.


Almarhum meniup lilin sempena keputeraan.


Ketika merasmikan sidang Parlimen.

Almarhum ketika bergelar Yang Di-Pertuan Agong manakala adinda baginda Almarhum Tunku Abdul Malik sebagai Pemangku Raja.

Almarhum ketika menunaikan fardu Haji.

Almarhum dan Queen Elizabeth II.

Almarhum bersama ayahanda saudara Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Setelah penggal baginda tamat pada tahun 1975, Almarhum pulang ke negeri Kedah dan bertakhta kembali sebagai Sultan Kedah Darul Aman. Baginda telah bertemu jodoh buat kali ke-2 dengan KDYMM Sultanah Hajah Haminah pada 25 Disember 1975. Sultanah Hajah Haminah telah ditabalkan sebagai Sultanah Kedah Darul Aman pada 9 Januari 2004, menggantikan Almarhum Sultanah Bahiyah yang mangkat pada 26 Ogos 2003. 

Almahum telah menyambut Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan pada tahun 1983 ketika berusia 55 tahun. Pada usia yang agak muda, baginda telah banyak pengalaman sebagai seorang Raja dan antara Raja yang kanan ketika tahun 1980an dan tahun 1990an. Pengalaman baginda digunakan sebaiknya untuk membangunkan negeri Kedah.

Almarhum bersama Raja-Raja Melayu yang lain, Almarhum Tuanku Syed Putra, Almarhum Tuanku Ja'afar dan Almarhum Sultan Mahmud.

Almarhum bersama Sultan Ismail Petra, Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Syed Sirajuddin.

Almarhum bersama Almarhum Sultan Salahuddin, Almarhum Sultan Azlan Shah dan Almarhum Tuanku Syed Putra.

Almarhum bersama rakan baik baginda, Almarhum Sultan Salahuddin.

Almarhum dan Sultanah Bahiyah.

Potret Almarhum sebagai Sultan Kedah pada tahun 1980an.

Almarhum ketika menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja.

Almarhum merupakan seorang nenda yang penyayang.

Almarhum ketika sambutan Jubli Perak pemerintahan pada 1983.


Keluarga diraja Kedah sekitar tahun 1980an.


Almarhum dan Almarhum Sultan Salahuddin.


Almarhum telah menyambut Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan sebagai Sultan Kedah pada tahun 2008 ketika berusia 81 tahun. Ketika itu baginda merupakan Raja Melayu paling kanan. Almarhum telah dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-13 pada tahun 2006. Ini merupakan kali kedua Almarhum dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, kali pertama pada tahun 1965. 

Almarhum mencipta sejarah sebagai Raja Melayu pertama menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. Baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14 menggantikan KDYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember 2011. Almarhum merupakan Yang Di-Pertuan Agong paling tua menaiki takhta Persekutuan iaitu pada usia 84 tahun. Baginda telah menghabiskan tempoh pemerintahan baginda selama 5 tahun pada tahun 2016.

Sekembalinya baginda ke negeri Kedah, Almarhum telah melantik adinda baginda, YTM Tunku Sallehuddin sebagai DYTM Raja Muda Kedah setelah kemangkatan DYTM Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah. Almarhum lebih banyak berehat apabila pulang ke negeri Kedah. Kebanyakan Istiadat dan majlis rasmi kerajaan dihadiri oleh Raja Muda Kedah. 

Almarhum mangkat pada tanggal 11 September 2017, kurang setahun setelah kembali ke negeri Kedah. Legasi yang ditinggalkan baginda amat luas. Keprihatinan dan senyuman baginda akan senantiasa dikenang semua rakyat jelata. Almarhum cukup terkenal sebagai seorang Raja yang amat berhemah tinggi. lemah lembut tutur katanya dan bersopan santun. Almarhum merupakan seorang Raja Pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai budi pekerti dan tingkah laku berasaskan ajaran agama. Almarhum amat prihatin dalam hal ehwal agama dan dan rakyat jelata. Dedikasi dan semangat baginda untuk bekerja jelas terbukti seaktu menjalankan kewajipan sebagai Sultan Kedah. Almarhum akan berangkat setiap hari ke pejabat baginda di Wisma Darul Aman, Alor Star. Sewaktu menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga memperlihatkan Almarhum akan memperuntukkan lebih banyak masa pejabat Almarhum di Istana Negara untuk menunaikan tuntutan kerja Almarhum. 

Almarhum ketika sambutan Jubli Emas Pemerintahan baginda pada 2008.

Almarhum bersama Sultan Ahmad Shah, Sultan Azlan Shah dan Tuanku Syed Sirajuddin.

Almarhum dan Sultanah Hajah Haminah,

Mengucup keris ketika pertabalan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-14.

Almarhum ketika menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia.

Kemesraan Almarhum dan Sultanah Haminah.


Gelak tawa Almarhum Tuanku.

Almarhum diatas takhta Persekutuan.

Almarhum ketika lawatan ke luar negara.

Wajah Almarhum yang akan dirindui.



Almarhum merupakan seorang pencinta haiwan sehinggakan baginda mempunyai zoo mini di Istana Anak Bukit.

Ketika menangkat sumpah sebagai Timbalan Agong.

Almarhum memakai pakaian tentera.

Almarhum sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke 14.

Lambaian dan senyuman terakhir Almarhum.

2 comments:

  1. admin cube bahas tentang Sultan Kedah ke 29

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah akan saya usahakan. Terima kasih atas cadangan.

      Delete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...