Anda Pengunjung Ke :

Tuesday, 15 August 2017

Istiadat Bersiram YAM Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad Abdullah.


Istiadat Bersiram YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan suaminya, Encik Dennis Muhammad Abdullah sempena Istiadat Perkahwinan Pengantin DiRaja dilakukan penuh tradisi dan adat istiadat DiRaja Johor di Bukit Bintang, Istana Besar hari ini, 15 Ogos 2017.

Pasangan pengantin DiRaja yang mengenakan Baju Melayu dan Baju Kurung Teluk Belanga biru muda tiba di Istana Besar pada jam 4 petang. Tunku Tun Aminah dan suami kemudian bersemayam di peterana Panca Persada setinggi sembilan tingkat yang dibina di puncak Bukit Bintang, Istana Besar.


Majlis Bersiram dimulakan dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Johor, Dato’ Haji Mohd Tahrir Bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, disusuli istiadat menepung tawar disempurnakan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Di-Hilir Perak, DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat menyaksikan majlis berkenaan, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan isteri, YM Che' Puan Khaleeda Bustamam serta paduka-paduka anakanda yang lain. Tunku Tun Aminah dan Encik Dennis Muhammad kemudian turun dari Panca Persada dan meninggalkan Istiadat Bersiram pada jam 4.45 petang, sebelum majlis bersurai dengan bacaan doa oleh Mufti Johor.


Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah melihat keletah cucundanya. Turut kelihatan Tunku Azizah, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda.

Yang Di-Pertua Jummah Majlis DiRaja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli, DYAM Raja Iskandar Dzukarnain, YAM Tunku Idris dan YAB Dato' Seri Khaled Nordin.

foto : royal press office (rpo)

Istiadat Persandingan YAM Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad Abdullah.


WARISAN PERMAISURI MELAYU merafak sembah setinggi-tinggi tahniah buat Yang Amat Mulia Tunku Puteri Johor Darul Ta'zim Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan pasangannya Encik Dennis Muhammad Bin Abdullah. Selamat pengantin baru dan semoga perkahwinan diraja ini diberkati dan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. selalu. 

Pasangan pengantin tiba di perkarangan Istana Besar.

Istiadat Persandingan DiRaja yang diadakan pada sebelah malam 14 Ogos 2017 ternyata penuh dengan tradisi dan adat melayu Johor. Istiadat ini diadakan di Istana Besar Johor Bahru dengan dihadiri oleh kira-kira 1200 tetamu. Pasangan pengantin bergerak dari Istana Bukit Serene menuju ke Istana Besar dengan menaiki kereta vintaj Mercedes Limousine Convertible, sambil diiringi pengiring bermotosikal dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri. 

Menaiki tangga menuju ke Balairong Seri.

Pasangan pengantin diraja ini tiba di perkarangan Istana Besar pada pukul 8.35 malam. Ketibaan kedua mempelai ini disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar. Pasangan pengantin yang berhias cantik memakai persalinan baju kurung johor manakala pengantin lelaki memakai baju melayu Teluk Belanga seperti yang dihajatkan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.


Istiadat Persandingan ini bermula pada pukul 8.00 malam dengan keberangkatan masuk DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris ke dalam Balairong Seri Istana Besar. Seterusnya kerangkatan masuk KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Kemudian keberangkatan masuk KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. 


Turut berangkat DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan YM Che Puan Khaleeda Bustamam, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, YAM Tunku Aris Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan YAM Tunku Teh Mazni, YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan YAM Tengku Puan Laksamana Selangor Tunku Kamariah Sultan Iskandar, YAM Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar, YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim, YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim. 

Menuju ke pelamin.

Turut hadir YAB Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Singapura Teoh Chee Hean dan isteri, serta YAB Menteri Besar Johor Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri. Hadir sama kerabat-kerabat diraja, sahabat serta kenalan pasangan pengantin. 


Sesudah pasangan pengantin masuk ke balairong seri dan duduk diatas pelamin, doa selamat dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Johor Dato' Haji Mohd Tahrir Shamsuddin. Sesudah itu Istiadat Merenjis dan Menepung Tawar pengantin dimulakan. Istiadat merenjis dimulakan oleh Sultan Brunei diikuti Raja Isteri, kemudian Sultan Johor dan Permaisuri Johor, Pemangku Raja Pahang dan Tengku Puan Pahang, Tunku Mahkota Johor dan isteri, Perdana Menteri dan isteri, Raja DiHilir Perak dan Raja Puan Muda Perak serta tetamu diraja yang lain. Turut menepung tawar ialah ayahanda dan bonda pengantin lelaki, Martin Verbaas dan Henriette Verbaas. Sesudah selesai Istiadat Menepung Tawar, pengantin keluar dari Balairong Seri untuk bersalaman dengan para tetamu yang dijemput. 


Bersanding di atas pelamin.


Dari kiri: Tunku Abdul Rahman, Tunku Soraya. Raja Iskandar Dzulkarnain, Tunku Idris, Datin Seri Rosmah, Dato' Seri Najib, Permaisuri Raja Zarith Sofiah, Sultan Ibrahim, Pengiran Isteri Anak Saleha, dan Sultan Hassanal Bolkiah.

Tengku Abdullah, Tunku Azizah, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda.

Sultan Brunei, Raja Isteri, Sultan Johor dan Permaisuri Johor mengaminkan doa.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Tengku Abdullah, Tunku Azizah, Tunku Ismail. Che Puan Khaleeda, Tunku Abdul Majid, Tunku Teh Mazni, Tunku Kamariah, Tengku Sulaiman dan Tunku Zabedah.

Pasangan pengantin mengaminkan doa.

Sultan Brunei memulakan Istiadat Merenjis.


Sultan Johor merenjis pengantin.

Permaisuri Raja Zarith Sofiah menepung tawar puteri kesayangan baginda.

Ayahanda pengantin lelaki menepung tawar pengantin.

Tunku Mahkota Johor menepung tawar adinda baginda.

Pasangan pengantin dua sejoli.

Tunku Mahkota Johor dan isteri.

Sultan Ibrahim bermain dengan cucunda baginda sambil diperhati semua anakanda baginda.

Pasangan pengantin bersama Sultan Brunei dan Sultan Johor.



Tiga generasi kerabat diraja Johor.

Istiadat Santapan diraja.

Sultan Brunei, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang.



foto: royal press office (rpo) dan johor southern tigers.

Monday, 14 August 2017

Istiadat Pertunangan dan Pernikahan YAM Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad.


Selamat Pengantin Baru buat pasangan YAM Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad.

Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim hari ini sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Bin Abdullah dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu  pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini.

Dennis Muhammad menyarungkan cincin di jari manis Tunku Tun Aminah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO) kepada media, pasangan diraja itu dinikahkan oleh Mufti Negeri Johor Dato' Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi wakil rasmi baginda di majlis tersebut.


Pada majlis pernikahan itu juga, keluarga pengantin perempuan yang diwakili Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki yang diwakili bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato' Ismail Karim. Keluarga pengantin perempuan dan lelaki bertukar hantaran yang dibawa masuk oleh anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN). Hadiah yang disampaikan keluarga diraja Johor kepada pengantin lelaki merangkumi cincin emas, al-Quran, sejadah, persalinan baju melayu teluk belanga dan sampin, sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.

Dennis Muhammad Bin Abdullah.

Istiadat pernikahan yang menyusul sejurus selepas istiadat pertunangan dan majlis hantaran itu disaksikan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah serta anggotai keluarga dan rakan terdekat. Turut berangkat KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Nazatul Shima Sultan Idris, YAM Tunku Kamariah Sultan Iskandar, YAM Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar, dan YAM Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar.

Keluarga diraja Johor.

Berangkat sama DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan isteri YM Che’ Puan Khaleeda Bustamam; YAM Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar Al-Haj; YAM Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan YAM Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar. Hadir sama, ibu bapa pengantin lelaki Martin dan Henriette Verbaas, anggota keluarga dan rakan terdekatnya dari Belanda.

Malafazkan lafaz akad nikah.

Pengantin lelaki kemudiannya dibawa ke bilik tingkat atas bagi menyempurnakan Istiadat Menyarung Cincin yang menyaksikan Dennis Muhammad kemudian menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta memberikannya mas kahwin sebanyak RM22.50. Pasangan diraja yang kelihatan anggun dan tampan mengenakan busana tradisional Johor, baju kurung teluk belanga dan baju melayu teluk belanga serba putih itu kemudian turun ke bawah sebelum mencium tangan ibu bapa masing-masing dan juga anggota keluarga yang lain. Tarikh 14 Ogos juga merupakan satu tarikh istimewa buat bonda Tunku Tun Aminah, DYMM Permaisuri Raja Zarith Sofiah kerana hari ini merupakan Hari Keputeraan baginda yang ke 58. 

 3 orang wanita dalam keluarga diraja Johor. Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah, Che Puan Khaleeda Bustamam dan Tunku Tun Aminah.


Hantaran yang dibawa oleh Askar Timbalan Setia Negeri.

Dennis Muhammad mencium tangan bonda mertua beliau.

Bonda Dennis Muhammad menyarungkan cincin tanda pertunangan.

Bacaan doa.

Pengantin diraja bergambar dengan adik beradik Tunku Tun Aminah.

Tunku Abu Bakar, Tunku Abdul Rahman. Raja Iskandar Dzulkarnain, dan Tunku Idris.


Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah.

Bonda Dennis Muhammad memeluk anak lelaki beliau sambil diperhatikan oleh adik beradik Dennis yang sedang mengelap air mata.

Dennis Muhammad mencium tangan ayahanda mertuua beliau manakala Tunku Tun Aminah berpelukan dengan bonda beliau.

Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor dan cucunda sulung Sultan Johor.

Istiadat Akad Nikah.

Dennis Muhammad mengaminkan doa.

Permaisuri Johor bersalaman dengan tetamu yang hadir. Turut kelihatan Tunku Kamariah, Tunku Soraya, Tunku Zabedah dan Raja Nazatul Shima.

foto : royal press office (rpo) dan johor southern tigers.


Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...