Anda Pengunjung Ke :

Monday 24 April 2017

Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Sultan Muhammad V
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V.

Tarikh 24 April 2017 menyaksikan satu lagi istiadat penuh bersejarah berlangsung. Seorang lagi Raja Melayu ditabalkan naik takhta kerajaan Persekutuan dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, 47 ditabalkan dengan penuh adat istiadat Melayu. Baginda merupakan Ketua Negara yang ke 15 mengisi jawatan ini. Tarikh 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438 Hijrah dipilih bersempena Hari Israk Mikraj.

Seri Paduka Sultan Muhammad V menerima tabik hormat.

Istiadat Pertabalan ini dimulakan dengan keberangkatan tiba dan ketibaan DYMM Raja-Raja dan DYMM Permaisuri-Permaisuri, DYTM Raja-Raja Muda dan DYTM Raja Puan Muda, TYT Yang Di-Pertua Negeri-Negeri serta YABhg Toh Puan-Toh Puan seawal jam 9 pagi lagi. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tiba di perkarangan Istana Negara Jalan Duta kira-kira jam 10 pagi. Setibanya baginda di perkarangan Istana Negara, baginda disambut oleh YAB Perdana Menteri serta YAB Timbalan Perdana Menteri. Seterusnya lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu DiRaja. Baginda seterusnya berkenan untuk memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan Utama Rejimen Askar Melayu DiRaja.


Memeriksa barisan kehormat.

Istiadat yang diadakan di Balairong Seri ini bermula dengan keberangkatan masuk  Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D'Raja Kelantan yang mengalunkan lagu ''Raja Berangkat''. Keberangkatan masuk baginda didahului oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain diiringi oleh juruiring-juruiring baginda dan panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja. Seri Paduka kemudiannya bersemayam di Singgahsana di Balairung Seri itu untuk Istiadat Pertabalan.




Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian menghadap Sultan Muhammad V bagi memohon perkenaan untuk memulakan Istiadat Pertabalan itu yang kemudian membuat pengumuman bahawa istiadat itu dizahirkan selepas mendapat perkenan baginda. Sejurus selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan baginda untuk membawa masuk naskah al-Quran dan baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri.

Menyampaikan titah diraja.

Kemudian, dengan iringan tiupan serunai dan paluan gendang lagu 'Seri Istana', Datuk Paduka Maharaja Lela diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz membawa masuk naskhah al-Quran dan Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan serta Warkah Ikrar yang dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara lain, diikuti Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob. Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disambut baginda lalu mencium naskhah suci itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kanan baginda.

Mengucup Al-Quran.

Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu. Ini diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu menghunus dan mengucupnya, simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum baginda menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda. Istiadat kemudian diteruskan dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengucup keris panjang diraja.

Sebaik sahaja selesai ikrar dilafazkan, tiupan serunai dan paluan gendang dengan lagu ''Raja Bertabal'' dimainkan, diikuti laungan ''Daulat Tuanku'' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairung Seri. Sejurus selepas itu lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan. Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda sebagai mewakili kerajaan dan rakyat. Sultan Muhammad V kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat. Selepas itu, naskhah Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 selamat disempurnakan. Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi didendangkan dengan gemersik tiupan serunai berserta gema paluan gendang yang memainkan lagu ''Raja Berangkat'' bagi mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Membaca lafaz sumpah memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 orang. Berangkat ke istiadat ini adalah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, KDYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultan Terengganu Sultan Nur Zahirah, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani, DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YMM Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Fa-iz Petra, DYTM Pengiran Muda Mahkota Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, KDYTM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah dan KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, DYTM Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin dan DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan YM Che Puan Khaleeda Bustamam.

Mengaminkan bacaan doa.


Turut hadir, TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan YABhg Toh Puan Majimor Shariff, TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob dan YABhg Toh Puan Zurina Kassim, TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan YABhg Toh Puan Norlidah, dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan YABhg Toh Puan Ragad Kurdi, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.




Keberangkatan pulang dari Balairong Seri.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...