Anda Pengunjung Ke :

Saturday 15 October 2016

Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Selangor Selamat Disempurnakan.


Setelah 7 hari berlalu Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah, dan Menjunjung Duli Raja Muda Selangor yang diadakan pada 8 Oktober 2016, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali ke negeri Selangor untuk menyempurnakan istiadat pemasyhuran ini. Istiadat Menjunjung Duli oleh Tengku Amir Shah diadakan di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang. 

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Seterusnya lagu negeri Selangor dimainkan. 

Tengku Amir Shah berangkat masuk ke Balairong Seri Istana Alam Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Keris ini dianugerahi oleh ayahanda baginda pada istiadat pada 8 Oktober lepas. Semasa Istiadat Menjunjung Duli, Tengku Amir Shah mempersembahkan cenderahati kepada Sultan Sharafuddin sambil disaksikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin. Sultan Sharafuddin berkenan menerima cenderamata berkenaan. Seterusnya Tengku Amir Shah naik keatas singgahsana untuk mengambil tempat di sebelah ayahanda baginda dan bersemayam sebagai Raja Muda Selangor. 

Istiadat diteruskan dengan ucapan tahniah mewakili seluruh rakyat Selangor oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor Dato' Seri Azmin Ali. Seterusnya, Yang Amat Mulia Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyampaikan sembah tahniah mewakili para kerabat diraja. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Dato'Seri Utama Diraja Mufti Selangor Sahibus Samahah Dato' Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan seterusnya keberangkatan keluar Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat ini dihadiri oleh kerabat-kerabat diraja Selangor seperti YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah, YAM Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah dan YAM Tengku Puan Indera Setia Tunku Puteri Irinah Tuanku Jaafar, YAM Tengku Zatashah dan YABhg Dato' Seri Aubrey Manneson, YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, YAM Tengku Puteri Nor Zehan dan YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, YAM Tengku Puteri Zahariah, YBhg Puan Nur Lisa Abdullah, bonda kepada Tengku Amir Shah dan kerabat-kerabat lain. Turut hadir, Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali dan isteri YABhg Datin Seri Shamsida, ahli EXCO negeri Selangor, dan tetamu-tetamu jemputan yang lain. 

Keberangkatan tiba DYMM Sultan dan Tengku Permaisuri Selangor.



Keberangkatan tiba DYTM Tengku Amir Shah sambil menjunjung Keris Kebesaran DYTM Raja Muda Selangor.


Istiadat Menjunjung Duli.


Tengku Amir Shah mencium tangan ayahanda baginda.

Tengku Amir Shah mnyembahkan cenderamata kepada ayahanda baginda.



Tengku Amir Shah naik ke singgahsana untuk bersemayam di sebelah ayahanda baginda.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.


Tengku Amir Shah mengambil tempat disebelah ayahanda baginda.

Dato' Seri Azmin Ali menyampaikan ucapan tahniah.

Tengku Ahmad Shah menyampaikan sembah tahniah.

Kerabat-kerabat diraja yang hadir.

Bonda Tengku Amir Shah, Puan Nur Lisa Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...