Anda Pengunjung Ke :

Monday 27 June 2016

Kad Raya TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Bin Yaakob dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Binti Kassim diatas kurniaan kad raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijrah bersamaan 2016 Masihi. 


Muka hadapan kad raya dihiasi lambang Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Potret TYT Tun Khalil dan YABhg Toh Puan Zurina.

Tandatangan TYT Tun Khalil.




Saturday 25 June 2016

Cucunda Sulung Sultan dan Permaisuri Johor.

foto : JOHOR Southern Tigers.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah hari ini menerima cucunda sulung apabila isteri DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, YM Che Puan Khaleeda Bustamam selamat melahirkan seorang puteri. Puteri sulung pasangan ini diputerikan di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Kelahiran berkenaan diumumkan Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi satu kenyataan, hari ini. “Jumaah Majlis Diraja Johor merafak syukur ke hadrat Allah S.W.T dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan Yang Mulia Che’ Puan Khaleeda Bustamam atas keputeraan anakanda pertama baginda berdua iaitu seorang puteri pada 25 Jun 2016 bersamaan 20 Ramadan 1437 di Wad Diraja HSA,” katanya. Namun, kenyataan berkenaan tidak memaklumkan pukul berapa puteri diraja berkenaan dilahirkan dan beratnya. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam di atas kelahiran puteri sulung. 

Kemunculan Terkini YAM Permaisuri Siti Aishah.

Yang Amat Mulia Permaisuri Datuk Amar Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman,
D.K., D.M.N., D.A.(Sarawak), Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao (Thailand).







Inilah penampilan dan kemunculan terbaru Mantan Raja Permaisuri Agong, Yang Amat Mulia Permaisuri Datuk Amar Hajah Siti Aishah Binti Abdul Rahman pada 26 Mei 2016. Baginda yang berangkat untuk merasmikan Projek Telekung Siti Aishah yang baginda bertindak sebagai penaung. Permaisuri Siti Aishah yang kini berusia 45 tahun kelihatan ceria dan bersemangat dalam menjalankan aktiviti kebajikan. 

Projek wakaf telekung Siti Aishah bermula daripada program latihan kemahiran Projek 1Azam anjuran syarikat D’or Rue Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa badan kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, dan Kementerian Sumber Manusia. Di bawah program 1Azam, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, balu, orang kelainan upaya dan Orang Asli, dengan memberi kemahiran kepada mereka dalam bidang jahitan dan kraf kreatif. Pengarah Urusan syarikat itu, Hanizah Zainuddin memaklumkan sehingga sebelum Ramadan, pihaknya mempunyai 10,000 stok telekung yang akan diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan, masjid-masjid, surau, sekolah tahfiz, stesen minyak dan R&R di seluruh negara.

Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik buat YAM Permaisuri Siti Aishah.

Friday 24 June 2016

25 Jun 1922 : Hari Keputeraan Almarhum Tuanku Ampuan Durah.


Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Ampuan Durah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K.(Negeri Sembilan).

Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Darul Khusus ( 1960-1967 ).

25. Jun. 1922 - 8. Ogos. 1999.

Semoga ALLAH S.W.T. Mencucuri Rahmat ke atas Roh Almarhum.

Biodata Almarhum Tuanku Ampuan Durah : 



Monday 20 June 2016

Agong Ziarah Sultan Pahang Di IJN.


Tuanku Abdul Halim memeluk dan bertanya khabar kepada Sultan Ahmad Shah.


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 18 Jun 2016 untuk menziarahi KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. 

Tuanku Abdul Halim diiringi Sultanah Kalsom.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dan Paduka Adinda Sultan Pahang, Yang Amat Mulia, Tengku Panglima Perang, Tengku Abdul Aziz ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, YH Dato Setia Raja, Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, YH Dato Setia Pahlawan, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali dan Tengku Setia Jaya, Yang Mulia Tunku Dato’ Iskandar Dzulkarnain bin Tunku Dato’ Ismail. Tuanku Abdul Halim menghabiskan masa kira-kira setengah jam bersama Sultan Ahmad Shah. Sultan Ahmad Shah, 86 menjalani pembedahan kecil pada bahagian tangan pada 12 Jun lepas. Baginda dijadual berangkat pulang pada 25 Jun 2016. Semoga Sultan Ahmad Shah diberi kesembuhan dan kesihatan yang baik oleh Allah S.W.T. 

Tan Sri Dr Robaayah Zambahari menerangkan sesuatu kepada Tuanku Abdul Halim sambil disaksikan oleh Sultan Ahmad Shah.

sumber : http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?p=4877

Saturday 4 June 2016

Khas Sempena Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong : Darjah Kebesaran Persekutuan.

DARJAH KEBESARAN, BINTANG, DAN PINGAT PERSEKUTUAN.

SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA (S.P.)

Ini merupakan anugerah yang tertinggi sekali dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan. Bintang Kehormat ini dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.

Darjah Kerabat dan Darjah Kebesaran DiRaja.

DARJAH YANG MAHA UTAMA KERABAT DIRAJA MALAYSIA (D.K.M.)

Darjah Kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja dan bilangan ahlinya terhad seramai 10 orang sahaja. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada seorang Raja yang telah diisytiharkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA ( D.M.N.)

Darjah kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja. Bilangan ahlinya terhad kepada 30 orang. 15 daripadanya mungkin terdiri daripada anak-anak Raja luar negara, ketua-ketua Negara atau orang yang amat ternama. 

Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara.

SERI MAHARAJA MANGKU NEGARA (S.M.N.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama. Darjah kebesaran ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. Penyandang darjah ini membawa gelaran "Tun" dan isteri penyandang bergelar "Toh Puan".

PANGLIMA MANGKU NEGARA (P.M.N.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kedua. Darjah kebesaran ini membawa gelaran "Tan Sri" dan isteri penyandang bergelar "Puan Sri". Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 75 orang tidak termasuk warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

JOHAN MANGKU NEGARA (J.M.N.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Ketiga. Disebelah kiri ialah darjah yang dikurniakan kepada penerima lelaki dan disebelah kanan pula dikurniakan kepada penerima wanita. Jumlah penerima terhad kepada 1,250 orang tidak termasuk warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. 

KESATRIA MANGKU NEGARA (K.M.N.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Keempat. Disebelah kiri merupakan bintang yang dikurniakan kepada penerima lelaki dan disebelah kanan dikurniakan kepada penerima wanita. Jumlah penyandang tidak terhad.

AHLI MANGKU NEGARA (A.M.N.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kelima. Disebelah kiri merupakan bintang yang dikurniakan kepada penerima lelaki dan disebelah kanan dikurniakan kepada penerima wanita. Jumlah penyandang tidak terhad.

PINGAT PANGKUAN NEGARA (P.P.N.)

Merupakan pingat bagi Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara. Disebelah kiri merupakan bintang yang dikurniakan kepada penerima lelaki dan disebelah kanan dikurniakan kepada penerima wanita. Jumlah penyandang tidak terhad.

Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia.

SERI SETIA MAHKOTA (S.S.M.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Pertama. Anugerah ini membawa gelaran "Tun" dan isteri penyandang bergelar "Toh Puan". Keanggotaan darjah kebesaran ini terhad kepada 35 orang tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

PANGLIMA SETIA MAHKOTA (P.S.M.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Kedua. Anugerah ini membawa gelaran "Tan Sri" dan isteri penyandang bergelar "Puan Sri". Keanggotaan darjah kebesaran ini terhad kepada 650 orang tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

JOHAN SETIA MAHKOTA (J.S.M.)

Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Ketiga. Keanggotaan darjah kebesaran ini terhad kepada 2000 orang tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Darjah Yang Mulia Jasa Negara.

 PANGLIMA JASA NEGARA (P.J.N.)


Penganugerahan Darjah Yang Mulia Jasa Negara membawa gelaran "Datuk" manakala isteri penyandang bergelar "Datin". Keanggotaan darjah kebesaran ini terhad kepada 1000 orang tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Darjah Yang Amat DiHormati Setia DiRaja.

PANGLIMA SETIA DIRAJA (P.S.D.)


Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Pertama. Keanggotaan darjah kebesaran ini terhad kepada 200 orang tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat. Anugerah ini membawa gelaran "Datuk" manakala isteri penyandang bergelar "Datin".

JOHAN SETIA DIRAJA (J.S.D.)

Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Kedua.

KESATRIA SETIA DIRAJA (K.S.D.)

Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Ketiga.

BENTARA SETIA DIRAJA (B.S.D.)

Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Keempat.

DARJAH BAKTI (D.B.)

Darjah Bakti dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang masyhur di dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa kerana sumbangan cemerlang dalam kemajuan seni, sains dan kemanusiaan. Anugerah ini dihadkan kepada 10 orang penerima sahaja.

Darjah Gagah Perkasa.

PANGLIMA GAGAH BERANI (P.G.B.)

Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa didalam medan peperangan.

JASA PERKASA PERSEKUTUAN (J.P.P.)

Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa diluar medan peperangan.

KEPUJIAN PERUTUSAN KEBERANIAN (K.P.K.)

Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah berani tetapi tindakan itu tidaklah sebegitu tinggi untuk membolehkan mereka menerima pingat.

Pingat Perkhidmatan Lama dan Kelakuan Terpuji.

PINGAT KEBAKTIAN (P.K.)


Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota-anggota Pasukan Tentera Sukarela dan Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

PINGAT KHIDMAT BERBAKTI (P.K.B.)

Dikurniakan kerana khidmat am anggota-anggota Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

PINGAT PERKHIDMATAN SETIA (P.P.S.)

Dikurniakan untuk menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji bagi anggota-anggota tetap angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

PINGAT PERKHIDMATAN AM (P.P.A.)

Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji bagi anggota-anggota tetap angkatan Tentera Persekutuan dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

PINGAT TENTERA UDARA (P.T.U.)


Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia kerana keperwiraan atau taat setia yang teristimewa ketika menjalankan kewajipan penerbangan dalam masa operasi ataupun tidak.

PINGAT PERINGATAN MALAYSIA (P.P.M.)

Dibuat dalam tiga peringkat iaitu emas, perak dan gangsa. Khusus untuk mereka yang telah banyak memberikan khidmat cemerlang dalam usaha menubuhkan Persekutuan Malaysia hingga 31 Ogos 1965.

Wednesday 1 June 2016

1 Jun 1982: Sultanah Marcella Mangkat.


Almarhum Sultanah Marcella Ibrahim @ Fawzia Abdullah,
D.K., S.P.M.J., Grand Cordon of the Order of Crown (Romania).
( 7 November 1915 - 1 Jun 1982 ).

Pada 1 Jun 1982, Sultanah Marcella Ibrahim telah mangkat pada usia 67 tahun. Baginda merupakan Sultanah Johor bermula tahun 1955 hingga 1959. Baginda dilahirkan di Austria pada 7 November 1915. Bertemu jodoh dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Al-Mahsyur pada 6 November 1940 di London. Nama asal baginda ialah Marcella Mendl dan menukar namanya kepada Fawzia Abdullah setelah memeluk Islam. Baginda diberikan gelaran Lady Marcella pada 1940 sehingga diberi gelaran Sultanah Johor pada 1955. Sultan Ibrahim dan Sultanah Marcella mempunyai seorang puteri iaitu Almarhum Tunku Miriam (1950-2014). Sultanah Marcella mangkat pada 1 Jun 1982 setelah sekian lama gering di Grosvenor House, London. 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...