Anda Pengunjung Ke :

Monday 16 May 2016

16 Mei 1911 : Hari Keputeraan Tuanku Kurshiah.

Al - Fatihah..


DALAM KENANGAN.

Almarhum Yang Maha Mulia Tuanku Puan Besar Hajah Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.M.N., S.M.N., D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Kedah).

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama (1957-1960).
Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus (1933-1960).
Tuanku Puan Besar (1960-1999).

11. Mei. 1911 - 2 Februari 1999

Semoga ALLAH S.W.T. Mencucuri Rahmat ke atas Roh Almarhum.

Biodata Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah : 

Khas Sempena Sambutan Hari Guru 2016.

Sempena menyambut Hari Guru pada 16 Mei 2015, WARISAN PERMAISURI MELAYU ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun khasnya dan kepada semua guru di Malaysia amnya. Sesungguhnya peranan seorang guru amatlah besar kepada pembinaan sebuah bangsa bertamadun.

Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun : Permaisuri Pendidik.





Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan St. George, Pulau Pinang. Baginda seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Kirkby, Liverpool England pada tahun 1952. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1954, baginda mula mengajar di Sekolah Perempuan St. George. Seterusnya baginda mengajar di Sekolah Batu Road, Kuala Lumpur pada tahun 1956. Bermula tahun 1957 hingga 1959, Tuanku Bainun pernah mengajar di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah King George V, Sekolah Sultan Mahmud Raub, Sekolah King Edward VII Taiping, Sekolah Raja Perempuan Ipoh, dan Sekolah Perempuan Methodist Kuantan. Pada tahun 1963, Tuanku Bainun berkhidmat di Sekolah Seri Ampang sehingga baginda bersara pada tahun 1979. Jawatan terakhir baginda dalam bidang perguruan adalah Penolong Kanan Sekolah Seri Ampang.



Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Datuk Seri Utama Dr Abdul Rahman Bin Abbas.

Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Sintok, Kepala Batas. Selepas itu, beliau mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Sebelum itu, beliau telah menjadi guru pada usia 14 tahun dan merupakan guru termuda di Kepala Batas ketika itu. Tun Datuk Seri Utama kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera di Universiti Malaya pada usia 31 tahun. Beliau telah menjadi guru selama 20 tahun sebelum menyertai politik.

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Hajah Majimor Binti Shariff.

Toh Puan Datuk Seri Utama Majimor Binti Shariff memulakan pendidikan  di Sekolah St. Nicholas Convent, Alor Setar, Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan di Sekolah St. Theresa Sungai Petani. Setelah menamatkan pendidikan di peringkat sekolah,.Toh Puan Datuk Seri Utama  memperolehi Sijil Pendidikan dari Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka. Kemudian Toh Puan Datuk Seri Utama berjaya menjalani kursus Bahasa Inggeris di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Toh Puan Datuk Seri Utama telah memulakan kerjayanya sebagai seorang pendidik mulai tahun 1964 sehingga tahun 1989 iaitu selama 25 tahun.

Monday 9 May 2016

Ulangtahun Pertama Facebook Page Warisan Permaisuri Melayu.

Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini 9 Mei 2016, genap setahun operasi page facebook untuk blog Warisan Permaisuri Melayu. Facebook page Warisan Permaisuri Melayu ini diwujudkan pada 9 Mei 2015. Alhamdulillah, setakat hari ini, page ini telah mendapat like sebanyak 3110 likes. Pohon jasa baik para pembaca untuk like page ini untuk mendapat update mengenai blog Warisan Permaisuri Melayu. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua pembaca yang menyokong dan membaca blog Warisan Permaisuri Melayu. Semoga Allah S.W.T. merahmati hidup kita semua. 



Friday 6 May 2016

Raja Permaisuri Agong Menggunakan Khidmat ETS


KUALA LUMPUR, 5 Mei- Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berangkat dari Kuala Lumpur ke Bagan Serai, Perak menggunakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Seri Paduka berangkat dari Stesen Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi diiringi Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad dan dijangka tiba di Stesen Bagan Serai pada pukul 1.30 tengah hari.

Eksekutif Komunikasi Korporat KTMB Nor Mas Tita Shoffri berkata ini merupakan julung kali Seri Paduka menaiki perkhidmatan ETS sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada tahun 2010.

Beliau berkata perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam itu memberi peluang kepada Seri Paduka untuk melihat pemandangan kawasan yang dilalui ETS.

Sementara itu, Kapten ETS Muhammad Rodi Mustapha, 39, berkata beliau berasa bertuah kerana terpilih memandu tren yang membawa Tuanku Hajah Haminah.

"Saya dipilih antara yang terpilih dan berterima kasih kepada pihak KTMB kerana memberi kepercayaan untuk memandu tren ini," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun memandu tren.


Wednesday 4 May 2016

BELASUNGKAWA : YAM Tengku Puteri Utama Dato' Seri DiRaja Sharifah Salwa Jamalullail.


BELASUNGKAWA khas untuk Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Putri Utama Perlis Dato' Seri DiRaja Hajah Sharifah Salwa Binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, S.S.P.J., S.P.M.P. Diputerikan sebagai Yang Mulia Sharifah Salwa Binti Syed Putra Jamalullail pada 27 Februari 1942 di Kuang, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anakanda sulung kepada pasangan Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Almarhum DYMM Tengku Budriah Tengku Ismail. Adinda-adinda seibu sebapa beliau ialah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, YAM Dato' Seri DiRaja Syed Badaruddin, YAM Dato' Seri DiRaja Syed Amir Zainal Abidin, YBM Dato' Seri DiRaja Syed Razlan, YAM Tan Sri Dato' Seri DiRaja Syed Zainal Anwar, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Jalaina, YAM Dato' Seri DiRaja Sharifah Azwan, YAM Dato' Seri Sharifah Junetta dan YAM Dato' Seri Sharifah Endah. 

Bersama adinda beliau Tuanku Syed Sirajuddin.

Tengku Puteri Utama mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan St. Georges, Pulau Pinang dan seterusnya di Sekolah Convent Penang, Georgetown. 

Tengku Puteri Utama mendirikan rumah tangga dengan Y.A.M. Tengku Dato' Paduka Sulaiman Ibni Tunku Abu Bakar pada 20 Mei 1962 ketika berusia 20 tahun. Perkahwinan beliau diadakan di Istana Negara. Tengku Sulaiman merupakan cucunda kepada Almarhum Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar. Perkahwinan beliau dikurniakan seorang putera dan 3 orang puteri. Putera tunggal beliau ialah Y.M Dato' Tengku Shahrin Abu Bakar manakala puteri-puteri beliau terdiri daripada Y.M Dato' Tengku Shireen, Y.M Tengku Sharina dan Y.M Tengku Shariza. 

Bersama ayahanda Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Berinspirasi daripada bonda beliau, Tengku Puteri Utama sangat dekat dengan dunia kebajikan. Beliau sering mengiringi bonda beliau menghadiri majlis-majlis amal. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Pertubuhan Orkid Malaysia, Penaung Perkumpulan Wanita Perlis, Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra Kangar. 

Bersama bonda Tengku Budriah.

Tengku Puteri Utama dianugerahi dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh ayahanda beliau pada 25 November 1965. Seterusnya beliau dianugerahi pula dengan Darjah Seri Setia Syed Putra Jamalullail (S.S.P.J.) yang membawa gelaran Dato' Seri DiRaja pada 25 November 1996. 

Bersama Tuanku Syed Sirajuddin.



Ketika mengerjakan ibadah Haji.


Mewakili Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra.

Y.A.M. Tengku Putri Utama Perlis Mangkat.

AL FATIHAH..


Yang Amat Mulia Tengku Putri Utama Perlis
Dato' Seri DiRaja Hajah Sharifah Salwa Binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
S.S.P.J., S.P.M.P.
27. Februari. 1942 - 4. Mei. 2016

Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Tengku Putri Utama Perlis Dato' Seri DiRaja Hajah Sharifah Salwa Binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah mangkat pada jam 11.15 pagi tadi di Wad DiRaja Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star. Beliau yang juga merupakan kekanda sulung Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mangkat pada usia 74 tahun. Tengku Puteri Utama Sharifah Salwa merupakan puteri sulung kepada Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Almarhum Tengku Budriah. Berita kemangkatan Almarhum Tengku Puteri Utama disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Ahmad Zamri Khairuddin melalui RTM. 

Jenazah Almarhum berlepas dari Hospital Sultanah Bahiyah pada pukul 12.15 tengah hari menuju ke kediaman rasmi Almarhum, Sri Kesayangan. Istiadat pemghormatan terakhir berlangsung bermula jam 1.15 petang hingga 2.30 petang. Manakala untuk kerabat diraja pula bermula pukul 3.30 hingga 4.00 petang. Jenazah Almarhum disembahyangkan di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar selepas solat Asar dan dimakamkan di Makam DiRaja Arau pada pukul 4.45 petang. Menurut anakanda saudara Almarhum. D.Y.T.M Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzuddin, Almarhum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana menghidap demam denggi berdarah semenjak beberapa hari lepas. 

Almarhum Tengku Puteri Utama mendirikan rumah tangga dengan Almarhum Tengku Sulaiman Ibni Tengku Abu Bakar pada 20 Mei 1962 di Istana Negara. Tengku Sulaiman mangkat pada tahun 1999. Almarhum Tengku Puteri Utama meninggalkan seorang putera dan 3 orang puteri berserta beberapa orang cucunda. Ucapan takziah diucapkan kepada D.Y.M.M. Raja Perlis dan kepada seluruh kerabat diraja Perlis. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...