Anda Pengunjung Ke :

Friday 10 April 2015

KENANGAN : Istiadat Perkahwinan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara..

ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA.

Raja Muda Perak dinikahkan oleh Mufti Perak sambil diperhatikan oleh Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson diijabkabulkan oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Harussani Zakaria diIstana Iskandariah, Bukit Chandan , bandar diraja Kuala Kangsar, Perak pada hari Khamis 17 Mei 2007. Pada 18 Mei 2007, Zara Salim Davidson dilantik sebagai Raja Puan Besar Perak. Pada hari Sabtu 19 Mei 2007 majlis persandingan diadakan di Istana Iskandariah, tepian Sungai Perak, bandar Kuala Kangsar, Perak. Majlis pernikahan secara sederhana dan ringkas itu adalah atas kehendak Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan putera sulungnya, Raja Dr Nazrin sendiri. Namun begitu adat istiadat diraja dikekalkan. Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat. Tetapi berlimau dan bersiram sampat ditiadakan. Majlis Pernikahan di adakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima syiling.
Istiadat pernikahan pengantin diraja dimulakan dengan Orang Kaya Temenggong Perak, Paduka Raja Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain menghadap Sultan Perak untuk memulakan istiadat berkenaan. Ia diikuti dengan jejawat membawa masuk bingkisan Raja Muda untuk Zara Salim Davidson sebanyak sembilan bunga pahar berserta mas kahwin 250 gram emas tulen dan sebentuk cincin bertatahkan berlian.

Pasangan pengantin diraja.

Rombongan pihak perempuan diketuai Datuk Tunku Hamdy Tunku Ahmad Tajuddin, membawa 11 bunga pahar berserta sebentuk cincin perak untuk Raja Muda sebagai kurniaan balas yang dipersembahkan kepada ketua rombongan pengantin lelaki, Raja Ashman.


Raja Dr Nazrin berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz, kira-kira jam 11 pagi di Balai Istiadat mengikut adat istiadat diraja Perak. Raja Datuk Seri Ashman Shah, iaitu Raja Kecil Tengah Perak serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan.


Zara Salim Davidson memakai kebaya labuh kontemporari daripada renda Perancis dihiasi taburan kristal dan manik serta dipadankan dengan kain sarung sifon sedondon putih gading, hasil rekaan pereka fesyen terkemuka Radzuan Radzwil, yang juga anak jati kelahiran Bandar Diraja Kuala Kangsar. Zara mengenakan selendang putih `French netting' sepanjang tiga meter yang ditaburi kristal. Kasut sifon warna sedondon bertatah kristal putih
Salim Davidson mewakilkan wali kepada Datuk Harussani Zakaria untuk mengijab kabulkan anaknya dengan Raja Dr Nazrin dan upacara menandatangani surat mewakilkan wali itu diadakan, di Bilik Merah, Istana Iskandariah. Ibu Zara, Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin dan abangnya, Jeffri Salim Davidson.
Akad nikah disempurnakan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, kerabat diraja Perak, keluarga Zara serta 300 jemputan khas.

Pasangan diraja bersama adinda dan adinda ipar.

Kemudian Mufti Kerajaan Perak membacakan doa kesyukuran, diikuti selawat oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble. Seterusnya Raja Dr Nazrin ke bilik bersebelahan Balai Istiadat di mana Zara sedia menanti untuk upacara menyarung cincin.Turut hadir ialah bonda saudara Raja Nazrin, Datuk Lily Abdul Majid dan sepupu Raja Dr Nazrin, Datin Nina Jureen. 

Hantaran daripada pihak lelaki.

Hantaran daripada pihak perempuan.

MAJLIS PERSANDINGAN DIRAJA.


Majlis persandingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serba sederhana tetapi menepati adat istiadat persandingan diraja Perak di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada hari Sabtu, 19 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, bandar diraja Kuala Kangsar, Perak.

Tetamu diraja ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut hadir.


Majlis persandingan bermula 9.00 malam dengan keberangkatan ketiga-tiga sultan,para jejawat istana yang membawa alat kebesaran diraja serta payung dan lembing kerajaan

Pasangan pengantin diraja, Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara Salim Davidson yang memakai busana tradisional diraja berwarna kuning keemasan kelihatan anggun memasuki Balairong Seri 9.10 malam. Mempelai menuju ke singgahsana untuk istiadat bersanding diiringi 16 jejawat perempuan membawa lilin dan 10 jejawat perempuan lagi menambur bunga rampai. Perarakan masuk pasangan diraja ke Balairong Seri didahului iringi paluan kompang dan bacaan selawat daripada kumpulan Haqani Maulud Ensemble.


Istiadat merenjis tepung tawar dimulakan Sultan Kedah dan Sultanah Kedah, diikuti Sultan Perak dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Sultan Selangor dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum Shah.Tujuh das tembakan meriam dilepaskan.

Seterusnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan diikuti bapa Tuanku Zara, Salim Davidson dan ibunya, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin melakukan istiadat merenjis air mawar. Bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan isteri Datin Seri Kamariah Mokri. Lain-lain ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin.


Istiadat perkahwinan diraja juga dihadiri kerabat diraja dan rakan rapat Raja Dr Nazrin dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Menteri Alam Sekitar Indonesia Nabil Makarim iaitu rakan Raja Dr Nazrin ketika belajar di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.Lebih 800 tetamu dan orang kenamaan hadir pada majlis istiadat itu yang menjadi acara kemuncak istiadat perkahwinan pasangan itu yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Istiadat persandingan diraja itu diikuti dengan majlis santapan diraja di Dewan Santapan.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...