Anda Pengunjung Ke :

Monday 6 October 2014

Tun Hajah Suhailah Dalam Kenangan..


Assalamualaikum. Tanggal 4 Oktober 2014 negara kita dikejutkan dengan berita pemergian balu kepada Perdana Menteri ke 3, Allahyarham Tun Hussein Bin Dato' Onn iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Hajah Suhailah Binti Tan Sri Mohd Noah, S.S.M.  Allahyarham Tun Suhaila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara pada usia 82 tahun. Beliau meninggalkan enam orang anak yang beliau peroleh bersama Allahyarham Tun Hussein.


Tun Suhailah dilahirkan pada 26 Oktober 1931 di Johor. Beliau merupakan anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Allahyarham Tan Sri Haji Mohd Noah Bin Omar dan Siti Aminah Kusuma. Tan Sri Mohd Noah merupakan Speaker Pertama Dewan Rakyat dan merupakan seorang ahli politik yang disegani ketika awal kemerdekaan negara. Adik bongsu Tun Suhailah ialah isteri kepada Perdana Menteri Kedua iaitu YABhg Tun Dr Hajah Rahah Binti Tan Sri Mohd Noah yang juga merupakan bonda kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak.


Tun Suhailah dibesarkan di Muar, Johor dan mendapat pendidikan di Sekolah Convent Melaka. Beliau bertemu jodoh dengan
YAB Tun Hussein Bin Dato' Onn, D.K.(Johor),D.K.(Selangor),D.K.(Terengganu),D.K(Kelantan),S.M.N,S.P.M.P,S.P.M.J,S.I.M.P,S.P.C.M,S.S.I.J,S.P.D.K,
D.U.P.N,P.I.S,D.P,S.P.N.S
pada Februari 1948 ketika berusia 17 tahun. Perkahwinan mereka direstui dengan 2 putera dan 4 puteri iaitu Hishamuddin Hussein, Harris Hussein, Datin Roquiya Hanim, Puan Sri Dr Suraiya Hani, Roziah Hanis dan Dr Rozita Halina. Anak sulung beliau, Datin Roquiya Hanim meninggal dunia pada tahun 2005 akibat kanser payudara.

Berbual dengan Raja Permaisuri Agong pertama Almarhum Tuanku Kurshiah.

Pada tahun 1976, setelah kematian adik ipar beliau iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato' Hussein yang ketika itu bergelar Perdana Menteri, tempat Tun Razak digantikan oleh suami Tun Suhailah iaitu Tun Hussein Onn. Sepanjang 5 tahun Tun Hussein menjadi Perdana Menteri, Tun Suhailah merupakan tulang belakangnya.Sebagai isteri pemimpin negara, Tun Suhailah lebih komited dalam memperjuangkan nasib wanita dan golongan yang kurang berkemampuan. Tun Suhailah merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI). BAKTI didaftarkan secara rasmi pada 16 Mei 1977 hasil usaha Tun Suhailah. Beliau juga merupakan Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia sehingga tahun 1981. Pada tahun 1976, setelah pulang dari lawatan ke Iraq, Tun Suhailah telah menubuhkan Perpustakaan Kanak-kanak. Tun Suhailah juga merupakan Penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) yang banyak membantu pembangunan wanita dan kanak-kanak dalam negara.


Tun Hussein bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981. Maka tamatlah tugas Tun Suhailah sebagai isteri Perdana Menteri. Namun kerja-kerja kebajikan tetap beliau teruskan. Tarikh 29 Mei 1990 merupakan tarikh sedih dalam hidup Tun Suhailah. Suami tercinta, Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 68 tahun meninggalkan Tun Suhailah dan anak-anak.

Bersama Tun Hussein di London.

Setelah pemergian Tun Hussein Onn, Tun Suhailah lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga. Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (S.S.M.) yang membawa gelaran Tun oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1990 sebagai mengiktiraf jasa dan peranan Tun Suhailah sepanjang berkhidmat untuk masyarakat. Beliau juga dianugerahkan dengan Anugerah Srikandi oleh Persatuan Pandu Puteri Kebangsaan.

Pada tahun 2007, Tun Suhailah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah jantung. Semenjak itu beliau lebih banyak berehat di rumah. Beliau jarang-jarang muncul di media. 


Baru-baru ini beliau dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara akibat masalah kesihatan. Tun Suhailah meninggal dunia pada pukul 12.30 pagi, 4 Oktober 2014.Jenazah beliau dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku untuk dimandi dan disolatkan. Tun Suhailah diberi penghormatan untuk disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas zohor. Antara yang menziarahi jenazah Tun Suhailah ialah Sultan Ahmad Shah, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tuanku Zara Salim, Perdana Menteri Dato' Seri Najib dan juga adik beliau Tun Hajah Rahah.


Tun Suhailah bergurau bersama Tun Hussein dan Tun Siti Hasmah.

Sesungguhnya Tun Suhailah merupakan lambang seorang Srikandi yang menghambakan dirinya untuk kerja-kerja kebajikan. Pemergian beliau tiada pengganti.
AL FATIHAH untuk ALLAHYARHAM TUN HAJAH SUHAILAH BINTI TAN SRI MOHD NOAH.

Adik Allahyarham Tun Suhailah, Tun Rahah.

Upacara pengebumian di Makam Pahlawan.






No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...