Anda Pengunjung Ke :

Thursday 12 June 2014

Grace Kelly Malaysia: YH Dato' Sri Maria Menado.

Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado,
S.S.A.P., S.I.M.P.

Grace Kelly Malaysia... Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada Primadona Filem Melayu, Yang Hormat Dato' Sri Hajah Maria Binti Abdullah @ Maria Menado. Dilahirkan sebagai Liesbeth Dotulong pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado, Sulawesi Utara. Sewaktu berusia 7 tahun, beliau tinggal di Makasar bersama ibu dan bapa saudaranya disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Beliau berhijrah ke Singapura sewaktu berusia 19 tahun iaitu pada tahun 1951. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan A Razak Sheikh Ahmad seorang promoter tinju dan penulis skrip. Mula menyertai bidang seni pada tahun 1951 apabila diberikan watak utama dalam filem "Penghidupan" di samping Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee. 


Beliau aktif sebagai pelakon bermula tahun 1951 hingga 1963. Namun, watak pontianak dalam filem "Pontianak" pada tahun 1957 melonjakkan lagi nama Maria Menado. Filem ini merupakan filem seram pertama dalam sejarah Filem Melayu. Filem Pontianak ini disusuli dengan Dendam Pontianak pada tahun 1957 dan Sumpah Pontianak(1958). Maria Menado merupakan pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem Hindi apabila berlakon di samping Shammi Kapoor dalam filem bertajuk " Singapore". Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia seni, beliau telah berlakon lebih 20 filem. Beliau juga merupakan penerbit filem wanita Melayu pertama apabila menubuhkan Maria Menado Production.

Kejelitaan beliau yang berwajah Pan Asian itu bertambah mashyur apabila diberi gelaran "Wanita Terjelita Malaya" oleh Times Magazine serta "Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara" oleh United Press International . Nama Maria diambil dari peristiwa Natrah yang berlaku di Singapura sewaktu tahun 1950an. Maria Menado mengambil nama sebenar Natrah iaitu Maria Hertogh dan Menado pula nama tempat beliau dilahirkan. 


Sudah ditakdirkan jodoh beliau bersama seorang Raja setelah bercarai dengan suami pertamanya pada tahun 1961. Pada tahun 1963, beliau dilamar oleh Sultan Pahang, KDYMM Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin untuk dijadikan isteri. Maria Menado berkahwin pada usia 31 tahun bersama Almarhum Sultan Abu Bakar. Selepas berkahwin, beliau menginap di Istana Seri Melati di Pekan Pahang. Selepas bergelar Permaisuri kepada Sultan Pahang, beliau bersara dari dunia seni yang diceburinya selama 12 tahun. Di atas titah Sultan Pahang juga, filem-filem lakonan Maria Menado tidak dibenarkan untuk ditayangkan di negeri Pahang.


Perkahwinan beliau bersama Almarhum Sultan dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri iaitu YAM Tengku Idris Sultan Abu Bakar, YAM Tengku Baharuddin Sultan Abu Bakar dan YAM Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1974, Maria Menado berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika itu, beliau memohon perkenan Sultan Pahang yang baru, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah untuk menayangkan kembali filem-filem lakonan beliau dan baginda memberi perkenan. Namun amat malang apabila mengetahui pemilik Cathay Keris telah membuang kesemua filem-filemnya ke dalam sebuah lombong. 

Maria Menado bertemu jodoh buat kali ketiga dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Dr Hussain Yusuf pada tahun 1978 pada tahun 46 tahun. Sehingga kini, nama Maria Menado masih dianggap sebagai Primadona Filem Melayu dan merupakan nama besar dalam industri seni negara. Dari seorang pelakon terkenal kepada seorang permaisuri, itulah takdir Dato' Maria Menado, tak ubah seperti Grace Kelly yang dilamar His Serene Highness Prince of Monaco suatu masa dulu. Kini, di usia 82 tahun, Maria Menado menjalani kehidupannya dengan penuh ketenangan bersama kenangan beliau dengan Almarhum Sultan. Semoga Primadona Dato' Maria Menado senantiasa dirahmati Allah selalu.



1 comment:

  1. Her acting in Hindi movie named Singapore was good, she was on eof the first Malayan then acted against legend Shami Kapoor

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...