Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 2 October 2013

DYMM Permaisuri Johor Tuanku Zarith Sofiah Idris..


WARISAN PERMAISURI akan menyambung kisah seorang lagi Permaisuri yang bertakhta di negara kita. Kali ini kisah seorang Puteri Sultan yang kini bergelar Permaisuri Negeri. Baginda merupakan seorang wanita yang amat dikagumi oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Baginda disayangi oleh sebab sikap keibuan dan kemesraan terhadap rakyat jelata. Baginda tak lain tak bukan iaitu
Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Darul Ta'zim Tuanku Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Allallahi Shah, D.K.,D.K.(Perak),S.P.C.M.,S.P.M.J.



Diputerikan pada tanggal 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah Perak. Baginda merupakan puteri kedua kepada Sultan Perak ke 33 Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah dan Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Ariff Shah. Baginda juga merupakan sepupu tiri kepada Sultan Perak sekarang DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah di Kuala Kangsar sehingga Darjah Enam pada tahun 1971. Seterusnya menyambung ke peringkat menengah di Sekolah Raja Perempuan Kelsom Kuala Kangsar. Baginda bersekolah menengah di Perak hanya beberapa bulan sahaja kerana pada bulan September 1972, baginda telah dihantar ke England untuk bersekolah di Chaltenham Ladies College sehingga tingkatan enam.


Setelah tamat sekolah, baginda melanjutkan pelajaran di Davies's College pada tahun 1977 seterusnya pada tahun 1978 baginda diterima masuk ke Somerville College,di Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford Entrance Examination.Pada bulan Jun 1983, di usia 24 tahun, baginda menamatkan pengajian peringkat ijazah di Univerisiti Oxford dengan memperoleh Ijazah Bachelor of Arts in Chinese Studies. Baginda seterusnya menyambung ke peringkat Master dan memperoleh Master of Arts pada tahun 1986. 


Istiadat Perkahwinan di Perak.
Tuanku Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu Tunku Mahkota Johor. Istiadat perkahwinan baginda diadakan pada 22 September 1982. Ketika itu baginda berusia 23 tahun. Perkahwinan di antara putera dan puteri Sultan ini dikurniakan 6 orang cahaya mata, 5 putera dan seorang puteri. Anakanda sulung baginda, Tunku Ismail kini bergelar Tunku Mahkota Johor. Anakanda baginda yang lain ialah Tunku Aminah,Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar. Sepanjang berkahwin dengan Sultan Ibrahim, baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor Raja Zarith Sofiah. Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada Januari 2010, suami Tuanku Zarith Sofiah telah dimashurkan sebagai Sultan Johor ke 25 dengan gelaran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Tuanku Zarith Sofiah pula diberi gelaran DYMM Isteri Sultan Johor Tuanku Zarith Sofiah Idris. Baginda tidak diberikan gelaran Sultanah Johor. Berkemungkinan selepas pertabalan nanti, barulah baginda akan dikurniakan gelaran Sultanah.

Keluarga Diraja Perak.

Tuanku Zarith Sofiah mewarisi bakat seni Almarhum ayahanda baginda, Sultan Idris Shah. Almarhum Sultan Idris merupakan seorang penulis yang baik sehinggakan baginda telah menulis beberapa lirik lagu termasuklah lagu "Kalau Rindu" nyanyian Allahyarham Toh Puan Setia Dato' Rafeah Buang. Tuanku Zarith Sofiah lebih kepada bakat melukis dan lukisan baginda pernah menjadi hiasan buku cenderamata Pesta Lukisan Kanak-kanak.



Baginda merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggantikan bonda mertua baginda YAM Tunku Puan Zanariah. Selain itu baginda juga merupakan Fellow Fakulti Pengajian Bahasa dan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Baginda juga merupakan Penaung Diraja Kelab Universiti Oxford di Malaysia. Bukan sahaja dalam bidang pendidikan, baginda juga aktif dalam bidang penulisan. Hasil tulisan baginda termasuklah buku cerita kanak-kanak dan juga tulisan di akhbar The Star di ruangan"Mind Matters".


Bersama suami baginda ketika zaman muda mereka.

Baginda amat aktif dalam hal-hal berkaitan kebajikan. Baginda memegang jawatan sebagai Penaung Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Johor, Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris  Malaysia dan juga Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia.Pada 28 November 2012, baginda berkenan melancarkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor . Yayasan ini bertujuan untuk mengutip dana untuk mengadakan pelbagai program pelajaran. Yayasan ini juga bertujuan untuk menyebarkan cara pembelajaran secara Islam. Tuanku Zarith Sofiah sememangnya seorang wanita berjiwa kental dan mempunyai cita -cita yang tinggi untuk melihat rakyat Malaysia dalam keadaan yang lebih baik. Baginda banyak mengadakan forum dan bekerjasama dengan pakar-pakar dari luar negara untuk membincangkan hala tuju pendidikan negara. Sesungguhnya peranan baginda dalam memantapkan sistem pembelajaran di Malaysia amatlah besar. 
Marilah kita sama-sama doakan semoga DYMM Permaisuri Tuanku Zarith Sofiah Sultan Idris senantiasa berada dalam perlindungan Allah SWT selalu. Semoga baginda dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat negara ini.


Bersama suami dan anakanda sulung baginda.

Memotong kek di hari pekahwinan baginda dan Sultan Ibrahim.

Bonda baginda, Almarhum Raja Perempuan Muzwin.


Permaisuri Melayu berpendidikan tinggi.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...