Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 11 February 2018

Galeri DiRaja Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Pada 3 Februari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan untuk melawat Galeri Sultan Azlan Shah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Galeri Diraja ini dibuka untuk lawatan setiap hari. Pada hari Sabtu hingga Khamis, waktu lawatan bermula pukul 10.00 pagi sehingga 5.00 petang manakala pada hari Jumaat bermula 10.00 pagi hingga 12.15 tengah hari dan dibuka semula pada pukul 2.45 petang hingga 5.00 petang. Bayaran masuk bagi pengunjung dewasa ialah RM4.00 manakala bagi warga emas, pelajar IPT dan pelajar sekolah menengah RM2.00 dan bayaran untuk kanak-kanak ialah RM1.00 sahaja. Pengunjung tidak dibenarkan untuk mengambil gambar didalam galeri namun pengunjung boleh mengambil gambar di luar galeri yang dihiasi dekorasi dan taman-taman yang indah. 


Galeri Sultan Azlan Shah, sebuah galeri yang indah dan menarik senibinanya dibangunkan setaraf galeri yang terdapat di luar negara. Ini dizahirkan semula dari cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah atas perkenan untuk dijadikan pengetahuan umum akan laluan perjalanan hidup Baginda. Galeri ini telah dirasmikan pada 9 Disember 2003 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.


Galeri Sultan Azlan Shah dibina semula dari istana lama iaitu Istana Ulu. Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887-1916.


Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, Istana Ulu ini telah disemayami oleh Almarhum Sultan Abdul Jalil , putera Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, Istana ini telah disemayami pula oleh putera, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah , Sultan Perak yang ke-32 yang memerintah Negeri Perak dari tahun 1948-1963.


Menurut sejarah, pusat Kesultanan Perak bermula di Tanah Abang iaitu pada tahun 1594. Sultan Perak yang ke-2 iaitu Almarhum Sultan Mansur Shah I, telah memindahkan kota tersebut ke Kota Lama Kanan iaitu kira-kira dua batu mudik melalui Sungai Perak dari Kuala Kangsar. Kota Lama Kanan telah kekal menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Perak sehinggalah pemerintahan Sultan Perak yang ke-27.


Apabila Almarhum Sultan Idris ditabalkan menjadi Sultan, Baginda telah memindahkan kawasan pemerintahan dari Sayong ke Bukit Chandan. Baginda telah membina sebuah istana berhampiran dengan Batang Hari iaitu dikenali sebagai Istana Negara pada tahun 1895. Berlakulah kemajuan yang pesat di sebelah Bukit Chandan dimana kemudiannya Baginda telah membina dua buah istana serentak iaitu Istana Ulu dan Istana Hilir. Istana Ulu digunakan sebagai tempat persemayaman baginda.


Istana Ulu mempunyai perkaitan yang rapat dengan permulaan pertukaran kawasan pemerintahan Kesultanan Perak dari daerah Sayong ke daerah Bukit Chandan. Istana Ulu juga dikenali sebagai Istana Cinta Berahi, Istana Cempaka Sari atau Istana Kota. Istana tersebut direkabentuk oleh Kapten Maurice Alexander Cameron, Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-negeri Selat pada masa itu. Bahagian bumbung nya pula menggunakan pengaruh Acheh dengan pengunaan bumbung yang berbentuk limas. Pengaruh dari senibina India pula terdapat di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan.


Ukiran-ukiran kayu kayu yang terdapat pada istana tersebut telah diukir oleh Raja Harun Al-Rashid yang merupakan seorang pengukir terkenal ketika itu. Beliau mengambil ilham berdasarkan tumbuhan alami yang terdapat di taman istana tersebut. Sementara ukiran batu yang telah dibuat oleh pengukir mengikut arahan dan perkenan Sultan Idris 1 di  mana Almarhum memastikan supaya tidak terdapat sebarang bentuk ukiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bentuk binatang atau patung-patung.


Penyusunan dan konsep ruang yang terdapat pada istana tersebut adalah berdasarkan pada ilham baginda di masa-masa yang lepas. Rekabentuk bangunan istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangunan Istana Negara, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Stesyen Keretapi Ipoh. Kebanyakan daripada bahan binaan untuk Istana Ulu ini dibawa dari luar negara. Atapnya dari Perancis dan jubin nya pula dari Itali dan tembaga kubahnya pula dari India. Walau bagaimanapun, banyak bahan tempatan yang digunakan seperti kerangka bumbung yang dibuat daripada kayu cengal dan ukiran daripada kayu meranti yang terbaik.


Kapal-kapal dagangan yang melalui perairan Sungai Perak telah digunakan untuk membawa bahan-bahan binaan untuk pembinaan Istana Ulu ini. Sementara itu gajah telah digunakan bagi mengangkut bahan-bahan tempatan. Istana Ulu ini dipagari dengan tembok kota yang dibina di sekeliling Istana tersebut sehingga namanya turut dikenali dengan nama Istana Kota. Pada bahagian atas tembok tersebut kerawang besi berukiran bunga kemboja telah dibina dengan cantik.


Kemegahan dan keagungan istana ini dilukiskan dengan seni pembinaannya yang halus dan indah dan terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad didirikan. Pembinaan semula bangunan ini telah menyempurnakan lagi talian warisan kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.











sumber: http://gsas.perak.gov.my/index.php/latar-belakang/mengenai/galeri-sultan-azlan-shah

Thursday, 8 February 2018

Bandar DiRaja Kuala Kangsar : Masjid Ubudiah, Makam DiRaja Al Ghufran, dan Istana Kenangan .

Pada 2 Februari hingga 4 Februari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan untuk melawat Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Bandar DiRaja ini banyak menyimpan khazanah diraja Kesultanan Perak Darul Ridzuan. Editor Warisan Permaisuri berpeluang untuk melawat Masjid DiRaja Ubudiah dan juga Makam DiRaja Al Ghufran yang terletak di perkarangan Masjid Ubudiah juga berpeluang untuk melawat Istana Kenangan yang terletak berdekatan Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

MASJID DIRAJA UBUDIAH.




Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah yang Maha Agung. Pada tahun 1911 ketika berehat di Port Dickson setelah menjalani rawatan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya baginda pulih. Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan supaya Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk menyediakan reka bentuk masjid itu. Tuan Hubback, arkitek yang ditugaskan untuk menyediakan reka bentuknya telah menerapkan unsur-unsur seni bina Moor dalam reka bentuknya. Tuan Caulfield, Jurutera Negeri telah ditugaskan untuk melaksanakan pembinannya. Kerja pembinaan masjid ini bermula pada 26 September 1913 tetapi telah tergendala akibat batu marmar asal yang diimport dari Itali telah dirosakkan oleh 2 ekor gajah yang bertempur di tapak pembinaannya. Masjid ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1917 dengan kos sebanyak $189,000.00. Dukacitanya, Sultan Idris tidak sempat untuk melihat masjid ini siap kerana baginda mangkat pada tahun 1916. 


Pada tahun 1993, Jabatan Kerja Raya Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk menambah keluasan masjid ini kerana ruang sedia ada tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat. Kerja pengubahsuaian ini melibatkan pembinaan bangunan tambahan di sisi bangunan kediaman,bilik air dan tempat wuduk. Kerja pengubahsuaian itu mengambil masa selama 2 tahun dan menelan belanja sebanyak RM 2.9 juta. Kerja pembinaan itu telah mengambil langkah keselamatan yang perlu bagi memastikan keaslian seni bina Moor bangunan ini sentiasa terpelihara. Setelah siap masjid ini dapat menampung jemaah seramai 2,300 orang. 


Pada tahun 2002, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Ke-34 telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri memulihara masjid ini ketahap kegemilangan asalnya. Dalam masa pengubahsuaian buat kali kedua, segala usaha telah dibuat untuk mengekalkan kegemilangan dan keunikan seni bina Moor nya. Dalam kerja pemuliharaan masjid ini, dewan solat telah diberi sentuhan hiasan baru, serta dilengkapi sistem penyaman udara. Siling baru berukir yang dilakukan oleh sekumpulan pengukir mahir yang dibawa khas dari Uzbekistan. Laman konkrit telah dibina sekeliling masjid dan persekitarannya pula dihiasi dengan seni taman yang baru mengambil kira semua aspek bangunan ini supaya sesuai dan harmoni. Kerja pemuliharaan ini melibatkan 9 kontraktor yang berlainan, dan siap dalam masa 3 bulan dengan kos sebanyak RM 4.8 juta. Masjid ini siap diubahsuai tepat pada masa ulang tahun Keputeraan Paduka Seri Tuanku Yang Ke-75 pada 19 April 2003.




MAKAM DIRAJA AL-GHUFRAN.

Makam DiRaja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar merupakan makam diraja bagi kesultanan Perak Darul Ridzuan. Makam diraja ini terletak bersebelahan Masjid DiRaja Ubudiah. Makam diraja ini dibina pada tahun 1915 dan mempunyai pengaruh seni bina Moghul dan menyerupai seakan-akan Taj Mahal di India. Seramai 8 orang Sultan Perak dimakamkan disini. Sultan Perak pertama yang dimakamkan di makam ini ialah Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I pada tahun 1916. Sultan-Sultan Perak yang lain ialah Almarhum DYMM Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Mukhataram Shah (1918), Almarhum DYMM Sultan Abdullah Muhammad Shah II (1922), Almarhum DYMM Sultan Iskandar Shah Kadasullah (1938), Almarhum DYMM Sultan Abdul Aziz Al Mutassim Billah Shah (1948), Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1963), Almarhum DYMM Sultan Idris Shah II (1984) dan terbaru sekali Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (2014). 


Seramai 7 orang Raja Perempuan Perak dimakamkan di makam diraja ini terdiri daripada Almarhum DYMM Raja Perempuan Tipah, Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Aishah (1920), Almarhum DYMM Raja Perempuan Nuteh Zahra, Almarhum DYMM Raja Perempuan Khalijah(1939), Almarhum DYMM Raja Perempuan Taayah(1962), Almarhum DYMM Raja Perempuan Puteh Umi Kalsom(1972), dan Almarhum DYMM Raja Perempuan Muzwin (2011).


Seramai 3 orang Raja Muda Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin, Almarhum DYTM Raja Muda Musa Almarhum Sultan Abdul Aziz(1983), dan Almarhum DYTM Raja Ahmed Sifuddin(1987). Manakala seramai 4 orang Raja DiHilir Perak dimakamkan di sini terdiri daripada Almarhum DYAM Raja Chulan Almarhum Sultan Abdullah(1933), Almarhum DYAM Raja Kamarulzaman Raja Mansur(1962), Almarhum DYAM Raja Ekram Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin(1978), dan Almarhum DYAM Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik(1997). Antara kerabat diraja Perak yang dimakamkan disini ialah putera Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Almarhum YTM Raja Ashman Shah yang mangkat pada 2012. 


Makam diraja ini juga menempatkan pusara bagi Orang-Orang Besar negeri Perak. Antara yang disemadikan di makan diraja ini ialah Allahyarham Tun Suffian Hashim, Bekas Ketua Hakim Negara yang meninggal dunia pada tahun 2000, YABhg Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Othman Talib(1984), YABhg Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato' Seri Wan Abdul Halim (1998) serta ramai lagi Orang Besar negeri Perak disemadikan disini. 


ISTANA KENANGAN (MUZIUM DIRAJA PERAK).


Muzium Diraja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama-nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) telah didirikan pada tahun 1926, di bandar Kuala Kangsar, Perak, Malaysia oleh seorang tukang kayu yang bernama Haji Sopian dan dibantu oleh dua orang anaknya, mereka ini berasal dari Seberang Perai. Muzium ini dibina atas perintah DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) sebagai tempat bersemayam sementara, disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi di dalam pembinaan menggantikan Istana Negara. Baginda DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga tahun 1933. Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama di hari-hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan.

Dari segi bentuk senibinanya, Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu Tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu jenis berlian). Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan bangunan ini. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik yang menggunakan tepas yang diam dengan corak-corak anyaman Melayu Tradisional dan warna dinding itu melambangkan warna negeri perak iaitu kuning,hitam, dan putih. Bangunan ini dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini melambangkan sebilah padang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana. Tingkat bawah bangunan ini pula digunakan sebagai pejabat rasmi Baginda, di mana ia mempunyai lantai simen dan disekelilingnya ditutup dengan bidai.

Nama Istana Kenangan telah diberikan pada tahun 1960-an setelah diperbaiki dengan dayausaha Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Istana Kenangan diduduki oleh keluarga DiRaja Perak sehingga tahun 1982, apabila Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkannya di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negara. Pada tahun 1986, ia dijadikan Muzium DiRaja, di mana penyelenggaraannya diserahkan kepada Pentadbiran Negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 16 November 1986, Muzium DiRaja Perak ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

Namun, Istana Kenangan ditutup untuk kunjungan kerana kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian semenjak tahun 2009. 

Monday, 29 January 2018

Senarai Susunan Kekananan Raja Permaisuri dan Isteri Yang Di-Pertua Negeri (dikemaskini Disember 2017).

SENARAI SUSUNAN KEKANANAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG, DULI-DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA PERMAISURI DAN ISTERI KEPADA TUAN-TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA - YANG DI-PERTUA NEGERI.

1. SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG:
- kosong -


2. DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH PAHANG DARUL MAKMUR:
Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Kalsom Binti Abdullah, D.K.(Pahang).
( Menaiki takhta sebagai DYMM Sultanah Pahang pada 30 September 1992 ).

3. KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH TERENGGANU DARUL IMAN:
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, 
D.K., D.M.N., S.S.M.Z., S.S.M.T., D.K.(Kedah), Knight Grand Cross (First Class) of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).
( Menaiki takhta sebagai DYMM Permaisuri Terengganu pada 12 Julai 1998 kemudian ditukar gelaran kepada KDYMM Sultanah Terengganu pada 5 Jun 2006. Menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-13 pada 13 Disember 2006 sehingga 12 Disember 2011 ).

4. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN PERLIS:
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid,
D.K., S.S.P.J., S.P.M.P., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Pahang), Grand Croix De L'Ordre (Royal Sash)-Cambodia, Knight of the Royal Order of Seraphim(Sweden), The Order of Sacred Treasure, Gold and Silver Star(Japan).
( Menaiki takhta sebagai DYMM Raja Perempuan Perlis pada 17 April 2000. Menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-12 pada 13 Disember 2001-12 Disember 2006).

5. DULI YANG MAHA MULIA TENGKU PERMAISURI SELANGOR DARUL EHSAN:
Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin Binti Abdul Rahman, 
D.K., S.P.M.S.
( Menaiki takhta sebagai DYMM Tengku Permaisuri Selangor pada 9 September 2016).

6. DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AMPUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS:
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, 
D.K., D.P.T.J., P.P.T.
( Menaiki takhta sebagai DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada 14 April 2009).

7. DULI YANG MAHA MULIA PERMAISURI JOHOR DARUL TA'ZIM:
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah,
D.K., D.K.(Perak), S.P.C.M., S.P.M.J.
( Menaiki takhta sebagai DYMM Permaisuri Johor pada 23 Januari 2010.

8. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN:
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, 
D.K., D.K.S.A., D.K.A.
( Menaiki takhta sebagai DYMM Raja Permaisuri Perak pada 20 Jun 2014).

9. KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH KEDAH DARUL AMAN:
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff,
D.K., S.H.M.S., S.S.D.K., D.S.D.K.
( Menaiki takhta sebagai KDYMM Sultanah Kedah pada 12 September 2017).

10. YANG TERAMAT MULIA TENGKU AMPUAN MAHKOTA KELANTAN DARUL NAIM:
- kosong -

11. ISTERI KEPADA TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG:
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Binti Shariff,
D.U.P.N. 

12. ISTERI KEPADA TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA:
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Dato' Zurina Binti Kassim,
D.U.N.M., S.I.M.P. 

13. ISTERI KEPADA TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH:
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Tan Sri R.M. Jasni,
S.P.D.K., A.D.K.

14. ISTERI TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK:
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Dato' Seri Raghad Kurdi Taib,
D.P., S.S.A.P.

MANTAN-MANTAN PERMAISURI:

1. MANTAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG KE-8 (1984-1989)
MANTAN DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH JOHOR DARUL TA'ZIM (1981-2010).
Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad,
D.K., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Kedah), D.K.(Brunei), S.S.I.J., P.I.S.

2. MANTAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG KE-9 (1989-1994)
MANTAN DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN ( 1984-2014).
Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun Binti Haji Mohd Ali,
D.K., D.M.N., D.K.(Selangor), D.K.A., Grand Cross of the Order of the Precious Crown(Japan), Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).

3. MANTAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG KE-10 (1994-1999)
MANTAN DULI YANG MAHA MULIA TUANKU AMPUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS (1967-2008).
Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin,
D.K., D.M.N., D.K.(Kedah), D.K.(Kelantan), S.P.T.J., S.P.M.K., Dame Grand Cross of the Order of Civil Merit(Spain), Dame Grand Cross of the Order of the Royal Order of Cambodia.

4. MANTAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG KE-11 (1999-2001)
MANTAN DULI YANG MAHA MULIA TENGKU PERMAISURI SELANGOR (1998-2001).
Yang Amat Mulia Permaisuri Datuk Amar Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman,
D.K., D.M.N., D.A.(Sarawak), Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).

5. MANTAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG KE-14 (2011-2016)
MANTAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH KEDAH DARUL AMAN (2004-2017).
Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah Darul Aman Dato' Seri Utama Hajah Haminah Binti Haji Hamidun,
D.M.N., D.K., D.K.H., D.M.K., Grand Cross of the Order of the Precious Crown(Japan), Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand).

6. MANTAN DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH JOHOR DARUL TA'ZIM (1978-1981):
Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Binti Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad,
D.K., S.P.M.J., S.S.I.J., S.P.M.K.

7. MANTAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA RAJA PEREMPUAN KELANTAN DARUL NA'IM (1979-2010) :
Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid,
D.K., D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Brunei), D.K.I(Johor), D.K.(Perlis), D.K.II(Selangor), S.P.M.K., S.P.M.P.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...